Sunday 18 September 2011

Kuasa Belia

Kuasa dan suara belia amat besar pengaruhnya. Sejarah membuktikan bahawa dalam menuntut kemerdekaan, generasi muda terdahulu berjaya membangkitkan semangat nasionalisme di dalam menuntut kemerdekaan dari penjajahan British. Suara, pendapat dan perjuangan generasi muda yang lahir daripada golongan cendiakawan mampu diterima dan didengari oleh rakyat. Ini membuktikan bahawa generasi muda
mampu menjadi pencetus kepada ideologi dan semangat baru.

Kini peranan dan tanggungjawab golongan belia masih sama. Bezanya belia terdahulu menuntut kemerdekaan manakala belia masa kini bertanggungjawab mengisi erti kemerdekaan. Walaupun terdapat pelbagai cara dalam meluahkan makna kemerdekaan,namun usaha pembentukan satu negara yang maju dan terbilang
masih menjadi matlamat yang satu.

Sejak merdeka, negara kita telah mengamalkan konsep demokrasi yang mana ianya menerima suara rakyat dalam menentukan tampuk pemerintahan negara. Berdasarkan populasi belia yang ada pada hari ini iaitu sebanyak 97 juta orang, potensi mereka adalah amat besar untuk menerajui negara. Hakikatnya,percambahan idea-idea berterusan daripada golongan belia adalah penting bagi membantu  kerajaan dalam melaksanakan dasar dan perancangan untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) yang rasminya diletakkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan
(KBS) merupakan satu badan perwakilan yang membolehkan belia menyuarakan hak, pendapat, idea, pengetahuan dan tindakan. Semasa merasmikan penubuhannya, Tun Abdul Razak Husein menyatakan bahawa MPBN merupakan sebuah ‘Parlimen Belia’. Belia bersidang untuk menentukan dan membincangkan
haknya sendiri. Ini membuktikan terdapat saluran yang boleh digunakan oleh belia untuk meluahkan pendapat mereka.

Hasil kemajuan yang dikecapi pada hari ini, membolehkan perhubungan daripada teknologi diterima oleh
semua. Penggunaan blog umpamanya, merupakan cetusan baru yang berupaya membantu golongan belia menyuarakan hak mereka. Perbincangan dan diskusi yang dilahirkan dapat digunakan sebagai sandaran dan iktibar oleh pelbagai pihak.

Hakikatnya golongan belia tidak memerlukan pengiktirafan yang tinggi. Walau bagaimanapun mereka mahukan suaranya didengari. Semoga percambahan minda yang bernas yang datang daripada generasi muda
berupaya membantu meningkatkan kemajuan negara.

No comments: