Sunday 18 September 2011

Had umur pemimpin bawah 40 tahun tak lemah kewibawaan organisasi

Peralihan kuasa belia lancar

KUALA LUMPUR: Peralihan hampir 50 peratus kepemimpinan pelbagai pertubuhan dan persatuan belia, kerana faktor umur tidak akan merencat atau melemahkan kewibawaan organisasi berkenaan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pengunduran barisan kepemimpinan sedia ada kerana Akta Pertubuhan dan Pembangunan Belia menetapkan usia pemimpin pertubuhan itu tidak boleh melebihi 40 tahun, mungkin memberi kesan positif.

“Bila kita laksanakan akta ini, bererti perubahan akan berlaku kerana yang baru akan ambil alih tempat (yang lama) dan yang baru ini pula sudah dilatih lebih awal untuk mengambil alih kepemimpinan.

“Jadi ini satu penyesuaian yang akan berlaku dan tidak akan melemahkan persatuan belia, malah barangkali akan lebih secocok dengan jiwa dan cita rasa belia, kerana mereka lebih memahami hasrat golongan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas berucap merasmikan Konvensyen Pemimpin Muda Kebangsaan dan Siri Latihan Pemimpin Muda Majlis Belia Malaysia (MBM), di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan Presiden MBM, Shamsul Anuar Nasarah.

Timbalan Perdana Menteri diminta mengulas kesan peralihan kepemimpinan itu nanti. Ini kali pertama akta seumpamanya digubal membabitkan pertubuhan belia dan ia kini dirujuk kepada Parlimen untuk dibentang dan diluluskan.

Ketika ini, ada 11.5 juta belia berusia antara 15 hingga 39 tahun di negara ini dan 40 pertubuhan belia menganggotai MBM.

Najib berkata, beliau tidak melihat masalah ketandusan pemimpin belia, kerana ia akan melalui proses penyesuaian, sama seperti dilakukan parti politik dalam mengetengahkan pemimpin baru.

“Apabila dikenakan syarat ini (had umur), ia akan memaksa persatuan dan pertubuhan belia melihat kepada pemimpin lebih muda dan mengenal pasti bakat lebih awal untuk diketengahkan sebagai pemimpin akan datang.

“Jadi apa yang akan berlaku ialah timbul pemimpin yang akan memegang tampuk kepemimpinan belia lebih awal lagi, berbanding masa lalu.

“Mereka juga akan mempunyai lebih lama masa untuk menunjukkan kemampuan sebagai pemimpin,” katanya sambil menegaskan pemimpin lama boleh terus memberikan sumbangan kepada pembangunan belia.

Terdahulu dalam ucapannya, Timbalan Perdana Menteri berkata, pemimpin belia mesti mempunyai suatu idealisme dalam perjuangan mereka jika mahu muncul pemimpin berkaliber.

“Idealisme ini mesti dicari dalam persekitaran kita yang seharusnya mendorong kita membuat sesuatu yang lebih daripada orang lain.

“Biarlah kita sebagai pemimpin mempunyai sesuatu yang kita mahu perjuangkan. Kita mesti jadi orang yang inginkan jawatan dan pengaruh, kerana melaluinya kita ingin mengubah kepada keadaan yang lebih baik,” katanya sambil mengakui MBM mampu memikul peranan memperkasakan belia, termasuk melalui siri latihannya.

Najib berkata, adalah penting pemimpin muda belia diperkasakan bagi membantu Malaysia muncul negara maju menjelang 2020.

Dalam perkembangan lain, Najib mempertahankan Ekspedisi Terjun Kutub Utara Putera Umno, walaupun ada pihak mempertikaikannya.

Katanya, perkataan `tidak boleh’ tidak sepatutnya ada dalam kamus hidup belia, kerana ia tidak membantu melonjakkan pencapaian mereka.
©The New Straits Times Press (M) Berhad

No comments: